Sebelum memasuki alam pekerjaan, hendak melangkah ke alam universiti juga memerlukan kita untuk lulus temuduga. Walaupun bukan bagi semua bidang, tetapi pengetahuan menghadapi sesi temuduga penting untuk kita memperbaiki kemahiran bercakap. Semua orang pun boleh bercakap, tetapi tidak semua mahir melontarkan idea dan ada juga yang bercakap leret tentang diri sendiri semasa ditanya soalan.

Apa Yang Anda Perlu Tahu Sebelum ke Temuduga

  1. Penemuduga mempertimbangkan anda dari apa yang mereka lihat, dan apa yang mereka dengar.
  2. First impression. Tanggapan pertama penting, jadi sebelum ke temuduga, pastikan anda menampilkan imej yang sesuai. Pada tahap kemasukan universiti, tidak perlu untuk memakai blazer. Wanita cukup berbaju kurung, berbaju tradisional tetapi sopan, atau kameja yang disesuaikan dengan seluar atau skirt panjang. Lelaki pada kebiasaannya akan berkameja dan berseluar. Perlu diingatkan, seluar bukan yang berpotongan ketat (macam seluar hipster).
  3. Buatlah penyediaan jawapan kepada soalan standard yang akan ditanya. Berlatihlah sehingga anda berjaya membina keyakinan untuk menjawab soalan.
  4. Ketahui latar belakang bidang yang anda ingin pelajari di universiti. Anda juga perlu bersedia menyatakan minat anda pada sesuatu subjek yang terangkum dalam bidang tersebut. Anda juga perlu selidik latar belakang universiti / politeknik yang anda pohon.

Contohnya dalam temuduga Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap. Anda mungkin tidak ditanya tentang “apa yang anda tahu tentang senibina dan landskap”, tetapi anda mungkin akan ditanya “apa yang membuatkan anda minat untuk menuntut bidang senibina landskap”. Jadi dari bacaan anda, anda bolehlah bercerita sedikit sebanyak tentang isu yang menarik minat anda untuk menjadi arkitek; isu penggunaan tanah secara membazir, isu tanaman landskap yang tidak sesuai ditanam, isu keselamatan dalam landskap, isu pelancongan dan lain-lain lagi.

Video (English) pada pautan ini berkongsi tentang soalan-soalan lazim yang ditanya ketika temuduga serta tips menjawab.

Soalan 1: “Ceritakan tentang diri anda.”
Soalan 2: Kecenderungan minat anda dalam akademik.
Soalan 3: Sasaran dan perancangan anda setelah menamatkan pengajian.
Soalan 4: “Kenapa anda berminat dengan bidang/sekolah/fakulti pengajian ini?”
Soalan 5: Aktiviti luar waktu kelas/sekolah.
Soalan 6: Kekuatan & kelemahan diri.

Hari Temuduga

  • Datang awal. Anda mungkin diminta untuk mengisi borang terlebih dahulu, dan anda juga memerlukan sedikit masa untuk menenteramkan diri.
  • Jaga adab ketika berada dalam kawasan kampus. Anda tidak tahu siapa yang akan memberi penilaian dalam sesi temuduga. Mungkin orangnya tua, mungkin juga orang muda yang nampak seperti pelajar sebaya anda.
  • Buang air sebelum nama anda dipanggil. Saya tidak perlu terangkan kenapa ini penting.
  • Pakai pakaian sesuai dan selesa, tetapi formal dan kemas.
pakaian rasmi kerajaan

Pakaian sesuai untuk temuduga

  • Semua dokumen seperti sijil dan sebagainya hendaklah disusun dengan teratur dalam CLEAR folder – Salinan kad pengenalan, sijil-sijil akademik yang asli dan original, juga penyertaan seminar dan kokurikulum. Susunan bermula dari tarikh yang terbaru sehingga terdahulu.
  • Sekiranya memohon masuk ke design school, hendaklah membawa sekali karya seni anda sebagai satu portfolio.
  • Bawa beg fail yang sederhana dan ringkas – menampakkan anda lebih teratur dan yakin.
  • Bawa pen.

Memasuki Bilik Temuduga

Tipsnya mudah. Jagalah adab – dari mengetuk pintu, senyum, berjabat tangan atau tunduk hormat, meminta izin sebelum duduk, duduk tegak dan lain-lain.

Ikut bahasa yang dikomunikasikan oleh penemuduga. Bahasa Melayu dijawab Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dijawab Bahasa Inggeris.

Bersopan-santun ketika bercakap.

Bawalah bertenang dan cuba jangan gelisah. Kawal keterujaan anda. Tidak salah untuk menjadi seseorang yang bersemangat pada hari tersebut, tetapi jangan sehingga menjengkelkan penemuduga.

Di akhir sesi, berikanlah maklum balas kepada penemuduga. Anda boleh bertanya soalan sekiranya anda mempunyai kemusykilan. Minta izin sebelum bertanya. Ini menampakkan anda sebagai seorang yang proaktif dan punya rasa ingin tahu.

Meninggalkan Bilik Temuduga

Senyum dan ucapkanlah terima kasih. Bangun dengan tertib dan berjabat tangan atau tunduk hormat. Minta izin untuk mendapatkan semula folder anda secara sopan.

Kesimpulannya disekalikan dalam poster infografik ini:

Temuduga Uni

Tips Temuduga Universiti Awam (Sumber: Kementerian Pendidikan Tinggi)

Rujukan:
UPU, Kementerian Pendidikan Tinggi
Prep Matters
cgkaunseling.blogspot.my